MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Labuan

UMNO Gali Kubur Sendiri Di Labuan?

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan mengekalkan penghakiman yang dibuat di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dilihat sebagai percubaan UMNO menggali kubur sendiri di Labuan pada pilihanraya umum akan datang.

Pada 10 Mac 2010, Hakim Mahkamah Sesyen, Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu selepas Suhaili mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif iaitu gagal memaklumkan Malayan Banking Bhd. bahawa dia seorang muflis pada 3 April 1996, ketika menjadi penjamin dalam borang permohonan pinjaman perumahan sebanyak RM110,000 dan kemudahan overdraf sebanyak RM50,000 oleh syarikat Saraequity Sdn. Bhd, untuk membeli sebuah apartmen di Api-Api Centre.

Suhaili memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi dan pada 27 September 2010, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengetepikan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan Suhaili kerana gagal memaklumkan statusnya yang muflis kepada pihak bank 14 tahun lepas ketika menjadi penjamin dalam satu permohonan pinjaman perumahan.

Pesuruhjaya Kehakiman Stephen Chung membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Suhaili, 49, terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 10 Mac 2010.

Dalam penghakimannya, Chung berkata, bekas wakil rakyat itu dijadikan mangsa apabila didakwa setelah sekian lama dia bebas daripada status muflis iaitu pada 1997.

Bagaimanapun, Pendakwaraya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan yang baru-baru ini telah bersidang dan membuat keputusan mereka tidak mempunyai merit untuk membuat keputusan dan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen serta mengenepikan Keputusan Mahkamah Tinggi; sekaligus menutup terus peluang Suhaili untuk mendapatkan penghakiman mutlak.

Ternyata Mahkamah Kangaroo yang diwujudkan UMNO, berjaya membunuh kerjaya politik Suhaili atas komplot 'Tangan Ghaib' yang sebelum ini menjatuhkan Pak Lah tetapi enggan membenarkan Najib menjadi Perdana Menteri, sebagaimana yang didedahkan Raja Petra Kamaruddin sebelum ini.

Walaupun Suhaili telah kehilangan jawatan dan peluangnya di dalam UMNO dan Kerajaan, namun mengikut Undang-Undang Pilihanraya, Suhaili boleh bertanding mewakili mana-mana parti dan keadaan ini membimbangkan UMNO/BN sekalipun laporan yang mereka palsukan bahawa BN tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi parlimen Labuan dengan mengekalkan Yusof Mahal.

Perkembangan mutakhir ini membuka peluang kepada semua parti politik termasuk DAP, PAS dan PKR untuk mencuba nasib di Labuan; sekalipun mengikut persetujuan Pakatan Rakyat, PAS berpeluang bertanding kerusi berkenaan kerana pada 2008 kerusi ini ditandingi PAS.

Menurut majoriti pengundi dan Ketua Cawangan UMNO di Labuan, jika Suhaili bertanding mewakili apa juga parti, hatta sebagai calon bebas sekalipun beliau akan menang dengan mudah.

Ramai ahli UMNO telah secara senyap-senyap menyertai DAP, PAS dan PKR dan dikhabarkan hanya tinggal Ketua Cawangan yang masih bertahan kerana mempunyai kepentingan politik.

Sabahkini.net mengikuti perkembangan kes mahkamah Suhaili sejak sebutan kes pada Mac 2009 lagi. Jika diteliti dengan betul, kedua-dua pertuduhan awal terhadap Suhaili ditarik pada saat akhir, ketika kes ini baru hendak dibicarakan, atas sebab ketiadaan bukti.

Pendakwaraya sebelum ini telah mengeluarkan sapena kepada 12-15 orang untuk hadir ke mahkamah sebagai saksi. Ketika itu ramai berpendapat pihak pendakwaraya sudah mengumpul cukup bukti untuk mendakwa Suhaili, malangnya kedua-dua pertuduhan itu ditarik balik, dan digantikan dengan pertuduhan baru.

Menurut Peguam Suhaili, Rakhbir Singh, petisyen muflis terhadap Suhaili difailkan pada 1993, dan Suhaili hanya tahu beliau diisytiharkan muflis bila beliau ditahan di lapangan terbang ketika hendak berlepas ke Manila pada 1997.

Ketika itu Suhaili bertindak sebagai penjamin terhadap pinjaman bank pada 1996 dan beliau tidak tahu yang beliau telah diisytiharkan muflis.

Suhaili kemudiannya dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Labuan sehingga Mac 2009. Suhaili juga dipilih sebagai calon Ahli Parlimen pada 2004, tetapi tidak menjadi kesalahan kerana beliau tidak didakwa pada ketika itu.

Tambah membingungkan, pendakwaan terhadap beliau dibuat oleh SPRM, bukannya orang awam atau Jabatan Pendaftaran Negara (IC Palsu) atau pihak bank. Jika dilihat rekod bank, pinjaman yang dijamin Suhaili sudah lama dilangsaikan. Jika beliau berniat menipu, pinjaman tersebut tidak akan lunas hingga ke hari ini.

Mengikut tinjauan rambang Sabahkini.net, 29 Cawangan UMNO di Labuan yang selama ini masih berpaut kepada UMNO sementara menunggu rayuan Suhaili akan bertempiaran menyertai parti lain atau kekal bersama Suhaili dan sekaligus menghakis peluang UMNO untuk mengekalkan Kerusi Parlimen Labuan yang dimenangi oleh Datuk Yusof Mahal, setelah komplot SPRM menjatuhkan Suhaili berjaya.

Siasatan Sabahkini.net sejak tiga hari lalu mendapati api dalam sekam yang berasap selama ini mula menampakkan bara yang menyala sekalipun belum merebak dan membakar gelombang politik Labuan.

Majoriti Ahli UMNO Labuan kesal kerana Mantan Ketua Bahagian mereka, Suhaili dijatuhkan dengan cara tidak bermoral dan mereka dipaksa menerima Ahli Parlimen yang rasuah, penuh skandal dan pecah amanah.

Walaupun buat masa ini, hanya Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Labuan, Arif Buang yang berani menampilkan diri dan bersuara lantang, namun 14 Ketua Cawangan yang selama ini berdiam diri; mula menunjukkan suara protes mereka sekalipun belum berani mendedahkan nama dan wajah mereka disebabkan ugutan yang mereka terima daripada Pegawai Kanan UMNO.

Menurut majoriti Ketua Cawangan UMNO Labuan, mereka kesal kerana komplot menjatuhkan Suhaili akhirnya merayakan kejayaan mereka setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan yang difailkan, sekaligus mengesahkan bahawa secara automatik Suhaili bukan lagi Ahli UMNO.

Mereka menyatakan buat apa lagi berada di dalam UMNO Labuan yang penuh korup, dipimpin oleh penjenayah dan mereka yang tamak haloba sehingga pembangunan Labuan kini umpama sebuah penjara terpencil.

Namun kata mereka, belum masanya menampilkan diri membuat pengakuan untuk meninggalkan UMNO bersama ahli cawangan masing-masing kerana belum ada ketentuan bila pilihanraya umum ke 13 akan diadakan.

Bisik-bisik sumbang dan keluhan berat mula menjadi hidangan perbualan harian yang membimbangkan jentera risikan UMNO/BN termasuk Cawangan Khas (SB) sehingga menukar Ketua SB Labuan, DSP Arjeet Singh pada 2011 kerana melaporkan kebenaran bahawa UMNO akan kehilangan kerusi Labuan jika Suhaili terus dianiaya dan tidak dicalonkan pada pilihanraya umum akan datang.
 

sumber : sabahdaily.com