MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Labuan

Polis pengawas sekolah ditubuhkan di Labuan

Semua sekolah di sini akan mempunyai 'polis pengawas sekolah' yang diberi kuasa menguatkuasakan disiplin bagi menangani masalah sosial dan jenayah dalam kalangan pelajar.

Ketua Polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata pendekatan kepolisian berasaskan risikan ini adalah sebahagian daripada program kepolisian komuniti yang bertujuan memupuk hubungan lebih erat antara polis dan pelajar.

"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memberi tumpuan penuh terhadap masalah pembabitan pelajar dalam jenayah. Kami akan tingkatkan hubungan dengan pihak berkuasa sekolah dan melibatkan pelajar dalam lebih banyak program," katanya kepada Bernama hari ini.

Sekurang-kurangnya 44 pelajar Sekolah Menengah St Anne yang mempuyai rekod cemerlang dari segi disiplin menerima surat pelantikan sebagai polis pengawas sekolah daripada Timbalan Ketua Polis Labuan Deputi Superitenden Ibrahim Mohd Ghani sempena sambutan Minggu Disiplin pada Isnin.

Sekolah lain juga dijadual menyertai program itu.

Sementara itu, 24 anggota polis responder awal mengikuti bengkel Bantuan Asas Hayat (BLS) yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Labuan.

"BLS adalah suatu tahap penjagaan perubatan yang diberi kepada mangsa penyakit atau kecederaan yang boleh mengancam nyawa sebelum mendapat rawatan sewajarnya.

"Ia boleh diberi anggota perubatan terlatih, termasuk juruteknik perubatan kecemasan, paramedik dan sesiapa sahaja yang berkelayakan," katanya.

Sumber:Sinar Harian