MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Labuan

Labuan bakal berdepan kesesakan lalu lintas

Labuan dijangka berdepan kesesakan lalu lintas dalam beberapa tahun lagi, melainkan usaha untuk menambah baik rangkaian jalan raya sedia ada dilaksanakan.

Peningkatan dalam jumlah kenderaan baharu, ketiadaan laluan masa terhad membabitkan kenderaan berat dan ketiadaan laluan alternatif, membawa kepada masalah 'laluan sendat' di kawasan bandar.

Ketua Jabatan Pengangkutan Jalan Labuan, Illias Abdullah memberitahu Bernama hari ini Perbadanan Labuan perlu menjalankan kajian terperinci berhubung rangkaian jalan raya terutamanya laluan menghala ke kawasan bandar.

"Masalah kesesakan semakin teruk disebabkan lokasi pelabuhan, pejabat pentadbiran kerajaan dan perniagaan, sekolah, pasar basah serta pusat beli-belah kesemuanya tertumpu di kawasan bandar," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Labuan hanya perlu menerapkan penggunaan laluan masa terhad bagi kenderaan berat seperti yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, memandangkan kenderaan ini menggunakan jalan sama dengan kenderaan ringan.

Illias berkata terdapat 10,000 kenderaan berat yang berdaftar di Labuan dan jumlah itu tidak termasuk trak dari tanah besar Sabah yang memasuki pulau itu setiap hari.

"Bagaimanapun sebelum dilaksanakan, faktor ekonomi perlu turut dipertimbangkan," katanya.

Beliau berkata sejumlah 45,000 kenderaan berdaftar di Labuan dengan purata 400 kenderaan baharu didaftarkan setiap bulan.

Sumber:Sinar harian