MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Labuan

KPDNKK pantau harga barang di Pasar Labuan

Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Labuan mengadakan operasi di Labuan Sentral Market dan Pasar Tamu Labuan Walk di sini minggu lepas, bagi memeriksa harga barang bersempena sambutan Deepavali pada 10 November.    

Operasi itu diadakan berikutan rungutan orang ramai tentang kenaikan harga barang tertentu di pulau bebas cukai berkenaan.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Labuan, Mohd Fikri Lai Abdullah berkata, langkah itu juga diambil bagi menjaga nama baik pasar berkenaan sebagai tempat tumpuan orang ramai dan pelawat.

KPDNKK menyenaraikan 18 jenis barang makanan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena sambutan perayaan Deepavali, yang berkuat kuasa dari 5 hingga 14 November. 

Barang berkenaan termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C serta daging kambing tempatan dan import. 

Turut tersenarai antaranya tomato, cili merah, kelapa, kelapa parut, bawang merah (India) dan kentang (China).

Mohd Fikri berkata, peniaga tidak boleh menjual pada harga melebihi harga kawalan dan mereka diwajibkan meletakkan tanda harga berwarna merah  jambu bagi semua barang kawalan.

Skim yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 serta hukuman  penjara tidak lebih tiga tahun bagi mereka yang melanggarnya, manakala syarikat pula berdepan denda RM500,000 atau kompaun hingga RM50,000 jika disabitkan kesalahan. 

Mohd Fikri berkata peniaga boleh didenda hingga RM10,000 atau dikenakan kompaun hingga RM5,000 sekiranya tidak menggunakan tanda harga berwarna merah jambu, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau kompaun hingga RM10,000.

Katanya pegawai penguatkuasa KPDNKK akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa peniaga tidak beretika.

Beliau berkata enam stesen minyak turut diperiksa berikutan pengumuman harga minyak oleh kerajaan bagi November iaitu RM2.05 seliter bagi petrol  RON95, RM2.45 bagi petrol RON97 dan RM1.90 bagi diesel, untuk memastikan pengusahanya tidak mengenakan harga berlebihan. 

Pengguna dan peniaga boleh melayari laman sesawang www.kpdnkk.gov.my untuk mendapatkan maklumat tentang skim kawalan harga itu.

Sumber:Sinar Harian