MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Labuan

Bekalan air masih terkawal walaupun cuaca panas

Bekalan air di Semenanjung dan Labuan masih terkawal, meskipun negara kini sedang mengalami cuaca panas disebabkan fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga Mac.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Ismail Kasim berkata sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan mengenai kekurangan sumber air disebabkan cuaca panas.
 
Bagaimanapun beliau meminta operator air di semua negeri memantau rapi kedudukan sumber air di empangan dan sungai yang membekalkan sumber air mentah ke loji rawatan air di negeri masing-masing.
 
"Ini adalah kerana kerajaan negeri bertanggungjawab untuk memastikan sumber air di negeri masing-masing mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan air," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
 
Beliau turut meminta kerajaan negeri mengkaji sumber alternatif lain seperti air di bawah tanah dan kolam takungan bagi menambah sumber air, selain empangan dan sungai.
 
Dalam pada itu, pengguna dinasihatkan berhemah dan tidak membazir dalam menggunakan bekalan air supaya sumber air dapat bertahan lebih lama.
 
Pada 8 Januari lepas, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Madius Tangau memaklumkan cuaca panas dan kering ketika ini disebabkan kejadian fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku dan dijangka berterusan dalam suku pertama 2016.
 
Fenomena El Nino boleh menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20% hingga 60% dan kenaikan suhu sekitar 0.5°C hingga 2.0°C dari biasa.
 
– Bernama