MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Labuan

600 pelajar SMK Labuan berkumpul semula

LABUAN 3 Mac - Hampir 600 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan dan bekas gurunya sejak 40 tahun lalu bertemu semula dalam majlis perhimpunan mega bekas pelajarnya di Dewan Mutiara sekolah itu, kelmarin.

Mereka datang dari seluruh negara termasuk negara jiran iaitu Indonesia dan Brunei semata-mata untuk bertemu mata dan beramah mesra dengan rakan lama dan juga guru yang pernah membimbing mereka.

Majlis itu dirasmikan oleh Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan, Mohd. Rafi Alli Hassan yang mewakili menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sekolah itu sebenarnya banyak melahirkan pelajar yang terkenal dalam pelbagai bidang termasuk politik, sukan, perniagaan dan kemasyarakatan.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; tiga bekas Ahli Parlimen Labuan iaitu Datuk Abdol Mulok Awang Damit, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Yussof Mahal serta Senator Datuk Yunus Kurus; bekas peninju, Koh Chan Lee, bekas pemain hoki wanita, Leha Ismail dan bekas pelari pecut negara, Allahyarham Ramli Ahmad.

Pengarah Urusan Labuan Liberty Port Management, Datuk Seri Mohd. Alias Abd. Rahman juga merupakan bekas pelajar sekolah itu.

Bekas pengetua sekolah itu, Ahmad Badri Mardi dalam ucapannya melahirkan kegembiraan kerana berpeluang berjumpa semula dengan bekas-bekas pelajarnya.

Beliau berkata, segala tindakan disiplin yang dikenakan terhadap anak muridnya ketika itu merupakan tugas dan tanggungjawab beliau untuk memastikan mereka sentiasa mematuhi peraturan sekolah.

"Saya minta maaf kepada anda semua tetapi saya hanya mahu anak murid berjaya dan dapat menyumbangkan sesuatu yang berharga kepada agama, bangsa dan negara serta kepada sekolah ini," katanya.

Sumber:Utusan malaysia